Operasi Mencari Dua Pelancong China di Pulau Mantanani Ditamatkan

KOTA BELUD: 12 Oktober 2025 – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pelancong warga China yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Mantanani sejak 5 Oktober lalu ditamatkan hari ini selepas tujuh hari dijalankan.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, operasi berkenaan ditamatkan pada jam 10 pagi selepas penilaian mendapati tiada sebarang petunjuk baharu diperoleh sepanjang tempoh pencarian.

Operasi itu melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Udara dan Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung sekitar Pulau Mantanani.

Menurut kenyataan itu, rondaan dan pemantauan di sepanjang perairan Pantai Barat hingga ke utara Kudat akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengesan sebarang petunjuk baharu.

PDRM turut menyeru pengusaha bot pelancongan dan nelayan di kawasan Pantai Barat Sabah agar menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan sekiranya menemui sebarang petunjuk berkaitan dua pelancong berkenaan yang masih hilang.

Orang awam juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti di kawasan pantai dan perairan terbuka bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.

PDRM merakamkan penghargaan kepada semua agensi penyelamat, masyarakat setempat serta pengusaha pelancongan atas kerjasama dan sokongan sepanjang operasi dijalankan.

Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan dua pelancong tersebut diminta menghubungi Inspektor Frankie Pain di talian 019-2151132 atau menghubungi Balai Polis Kota Belud bagi membantu siasatan.

Sumber: Kenyataan Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal