Kota Kinabalu, 8 Julai 2025 – Komuniti nelayan di Semporna terus menerima manfaat dari pelbagai program dan insentif Kerajaan Negeri Sabah yang bertujuan memperkukuh ekonomi serta meningkatkan taraf hidup golongan tersebut.
Melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah serta Jabatan Perikanan Negeri, pelbagai bantuan disalurkan antaranya melalui Program Transformasi Sosio-Ekonomi Nelayan dan Penternak Miskin/Termiskin serta Program Peningkatan Pendapatan Nelayan Setempat.
Bantuan ini merangkumi peralatan asas seperti enjin sangkut, bot gentian kaca, pukat, jaket keselamatan, GPS navigasi, dan kotak ikan berinsulasi, bergantung kepada keperluan penerima. Sepanjang 2024, enam nelayan dari Semporna telah menerima bantuan tersebut, dan 12 lagi dijangka menerima bantuan tambahan sepanjang 2025.
Ko-Nelayan turut memainkan peranan melalui penawaran skim pembiayaan mikro seperti Skim Bantuan Nelayan, Skim Bantuan Pengusaha Akuakultur, dan Pembangunan Industri Kecil Perikanan yang menyasarkan peningkatan pendapatan serta pengukuhan ekonomi komuniti nelayan dan usahawan kecil.
Aspek pembangunan modal insan juga diberi tumpuan melalui latihan kemahiran bersijil di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan kursus teknikal seperti penyelenggaraan enjin serta pembuatan bot. Sejak 2024, seramai lapan nelayan dari Semporna telah menyertai latihan ini.
Dalam memperkasa pendigitalan komuniti perikanan, seramai orang lapan nelayan dari Semporna telah dilatih menggunakan aplikasi satelit e-SMART untuk tujuan navigasi dan keselamatan di laut. Serentak dengan itu, 16 pengusaha hiliran dari kawasan sama kini aktif menjalankan perniagaan melalui platform e-KAN Ko-Nelayan, yang telah merekodkan jumlah jualan terkumpul mencecah RM5.23 juta setakat Mei 2025.
Program e-KAN merupakan sebahagian inisiatif Elektronik Komuniti Usahawan Perikanan, yang membolehkan nelayan serta usahawan mikro mempromosikan dan menjual produk secara dalam talian melalui kedai maya, sekaligus meluaskan pasaran mereka ke peringkat lebih tinggi.