Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
KOTA KINABALU: 5 September 2026 – Penyakit tidak berjangkit (NCD) meragut lebih 94,000 nyawa rakyat Malaysia setiap tahun, kata Menteri Kesihatan, Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad, ketika Bual Bicara Bersama Menteri Kesihatan di Dewan Wisma Wanita, Kota Kinabalu, pada jumaat.

Beliau berkata, NCD kini menjadi cabaran besar kesihatan negara selepas COVID-19 yang mengorbankan kira-kira 37,000 rakyat Malaysia dalam tempoh dua tahun, termasuk hampir 3,200 rakyat Sabah.
“Pandemik NCD membunuh rakyat Malaysia bukan 17 ribu seperti COVID-19. Setiap tahun Menteri Kesihatan ini dicabar dengan kematian 94 ribu ke atas,” katanya.
Menurut beliau, penyakit jantung, strok, kanser, diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit paru-paru kronik menjadi antara punca utama kematian akibat NCD.

Di Sabah, kadar diabetes dalam kalangan dewasa ialah 8.8 peratus berbanding purata nasional 15.6 peratus. Kadar tekanan darah tinggi pula sekitar 25 peratus, manakala berat badan berlebihan direkodkan 19.5 peratus.
Namun, beliau mengingatkan kadar lebih rendah itu tidak boleh menyebabkan rasa selesa kerana Sabah masih menguruskan 42,113 kes diabetes aktif, 86,114 kes hipertensi aktif.
“Data-data dan peratusan yang rendah ini tidak boleh melalaikan kita. Do not be complacent,” katanya.
Dzulkefly berkata, cabaran rawatan di Sabah lebih berat akibat faktor geografi, logistik, khususnya di kawasan pedalaman yang memerlukan petugas merentasi sungai, gunung, jalan jauh.
Beliau berkata, sebanyak 16 siri lawatan ke fasiliti kesihatan di Sabah telah dilakukan sejak 2024, merangkumi kawasan pantai, pulau, pedalaman, bandar.
Menurut beliau, Sabah turut berdepan cabaran kekurangan tenaga kerja apabila pengisian perjawatan berada pada tahap 88.51 peratus, dengan 3,557 kekosongan.
Ketika ini, Sabah mempunyai 2,546 doktor, 549 pakar, 10,164 jururawat.
Beliau turut memaklumkan Sabah merekodkan 4,029 kes baharu tuberkulosis dengan 171 kematian setakat pertengahan Ogos lalu.

