‘Muafakat antara GRS-BN boleh menangkan calon di Putatan’
PUTATAN: Datuk Ir Shahelmey Yahya wakil dari Barisan Nasional (BN) yang bakal bersaing dengan empat calon lain merebut kerusi Parlimen Putatan, adalah pesaing yang boleh membawa kemenangan kepada parti, kata Ketua GRS Putatan, Datuk Seri Arsit Sedi.
Shahelmey akan menghadapi cabaran daripada penyandang sebelum ini, Awang Hussaini Sahari daripada Pakatan Harapan (PH), Ahmad Mohd Said dari WARISAN dan Patrick Payne dari Pejuang.
Ini menurut Arsit berdasarkan kepada perpaduan muafakat di antara BN-GRS.
“Kemuafakatan yang terjalin itu sememangnya istimewa memandangkan ramai dikalangan ahli bagi kedua-dua gabungan terbabit mempunyai ikatan kekeluargaan.
“Kita memang berbesar hati dengan calon yang diketengahkan di Putatan ini memandangkan Datuk Ir. Shahelmey Yahya adalah tokoh politik muda yang berpotensi besar,” katanya di pusat penamaan calon di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, calon itu bukan sahaja mempunyai latar belakang yang baik, bahkan seorang Menteri dan ADUN GRS-BN di Sabah dan pemilihan beliau sebagai calon Parlimen adalah tepat.
“Dari sudut GRS, saya selaku Ketua sendiri akan turun padang dalam memastikan kemenangan calon kita, Insyallah,” katanya.
Sementara itu, Arsit pada merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS kerana mendengar saranan daripada pimpinan bahagian untuk menyenaraikan Shahelmey sebagai calon.
Perkara itu memang pernah disuarakan kepada pucuk pimpinan supaya kerusi Parlimen Putatan diberi kepada mereka yang benar-benar berpotensi membawa kemenangan kepada BN-GRS.
“Syukurlah, kita juga memainkan peranan itu kerana kalau boleh, hasrat mengetengahkan calon yang mempunyai kriteria boleh menang. Atas semangat perpaduan dan permuafakatan, hasil kerjasama ini boleh membawa impak positif pada hari mengundi nanti,” katanya.
– Tv Sabah News
0 Comments