TAMBUNAN: 3 November 2025 – Mixxccomoko Philip, atau singkatan Moko, berusia 23, muncul sebagai antara ikon baharu pertanian moden di daerah Tambunan. Anak muda berwawasan dari Kampung Ulu Nandal ini membuktikan bahawa sektor pertanian bukan lagi pekerjaan tradisional, sebaliknya satu bidang keusahawanan yang mampu menjana pendapatan lumayan serta membuka peluang kepada generasi muda untuk maju bersama kemodenan.
Berasal dari keluarga petani, minat Moko terhadap bidang pertanian bermula sejak kecil apabila melihat usaha keluarganya mengusahakan tanah dengan pelbagai jenis tanaman.
Namun, kesedaran terhadap potensi besar pertanian mula terserlah ketika beliau berusia 15 tahun.
Beliau melihat pertembungan teknologi moden yang mampu menjadi sumber rezeki, satu bentuk pelaburan masa depan yang mampu mengubah nasib keluarga, berbanding pertanian tradisional.
Moko mula mendalami ilmu pertanian dengan lebih serius. Pada usia 19 tahun, beliau dengan berani memulakan projek pertanian berasaskan hidroponik dan fertigasi, walaupun dengan modal kecil hasil pembelian set hidroponik mini bernilai RM280 di atas talian.
Hobi kecil itu berkembang menjadi satu projek berimpak besar yang kini diurus secara sistematik dengan penggunaan teknologi moden termasuk sistem pemantauan ladang dengan pemantauan CCTV 24 jam.
Ketika ini, Moko melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Agropreneurship di UiTM Cawangan Sabah.
Dedikasinya dalam bidang pertanian menarik perhatian pelbagai pihak.
Baru-baru ini beliau dilantik sebagai Panel Penasihat Program Sijil Agroteknologi Kolej Komuniti Tambunan.
Lebih menarik lagi, beliau merupakan antara individu termuda yang diberi kepercayaan untuk menyumbang kepakaran dalam pembangunan kurikulum pertanian moden di peringkat pendidikan tinggi.
Bagi Moko, kejayaan beliau pada hari ini tidak datang tanpa cabaran. Antara ujian terbesar yang dihadapinya termasuk kerugian hampir RM10,000 akibat serangan penyakit tanaman, dan kemusnahan rumah hijau pertama akibat hujan lebat dan angin kencang.
Namun, menurutnya setiap kegagalan adalah pelajaran penting dan sebahagian daripada proses menuju kejayaan.
Hasil ketabahan dan komitmen yang tinggi, beliau kini diiktiraf sebagai antara usahawan muda yang menonjol di Tambunan.
Antara pencapaian Moko termasuk Anugerah Usahawan Tani Cemerlang Peringkat HPPNS, Ikon Usahawan Muda Daerah Tambunan, Ikon Usahawan Fakulti Plantation & Agrotechnology UiTM, Anugerah Perusahaan Pelajar Terbaik UiTM Malaysia, dan pelbagai anugerah yang lain.
Moko kini berhasrat untuk menjadi pengeluar sayuran segar terbesar di Tambunan, selain membantu sekurang-kurangnya 500 usahawan muda melalui bimbingan dan latihan dalam bidang pertanian moden.

Beliau percaya, pertanian perlu dilihat sebagai bidang strategik yang bukan sahaja menyumbang kepada keterjaminan makanan negara, tetapi juga sebagai sumber ekonomi baharu yang berdaya tahan.
Menurutnya, penggunaan teknologi moden seperti hidroponik, fertigasi dan pertanian pintar (smart farming) mampu menjadikan industri pertanian lebih efisien dan berdaya saing.
Justeru, beliau menyeru agar kerajaan serta institusi pendidikan memperkukuh bimbingan, insentif, dan akses kepada tanah serta teknologi bagi membantu generasi muda menceburi bidang ini.
“Pertanian hari ini bukan lagi kerja kampung, tetapi satu bidang profesional yang menggabungkan ilmu, inovasi dan keusahawanan. Jika kita tidak rebut peluang ini sekarang, orang lain akan mengambil alih sektor ini,” katanya.
Dengan semangat yang kental, pengetahuan yang luas dan visi yang jelas, Moko muncul sebagai simbol kebangkitan generasi muda dalam pertanian moden di Sabah.
Beliau membuktikan bahawa apabila teknologi digabungkan dengan usaha di tanah, ia mampu melahirkan satu bentuk pertanian baharu yang bukan sahaja produktif, tetapi juga berdaya saing dan berpotensi besar menjana kemakmuran masa depan negeri Sabah.

		
		
		
		