KOTA KINABALU: 14 Disember 2025 – Persidangan Malaysian Indigenous Peoples’ Conference on Education (MIPCE-3) bermula pada Jumaat dengan menghimpunkan 250 peserta mewakili pelbagai etnik di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Antara mereka adalah wakil daripada Community Learning Centre (CLC) atau Pusat Pembelajaran Komuniti daripada tiga wilayah tersebut.

Penganjur menyifatkannya sebagai antara perhimpunan pendidikan Orang Asal terbesar di negara ini.

Program tiga hari di J Borneo Native Village, Lok Kawi ini menumpukan perbincangan mengenai pengukuhan pendidikan, bahasa ibunda dan identiti masyarakat Orang Asal melalui siri wacana, bengkel, pembentangan dasar serta pameran interaktif.

Persidangan turut menjadi platform merangka hala tuju masa depan, termasuk pembentangan Nota Konsep Indigenous Early Childhood Education (IECE) yang dijangka menyumbang kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026–2030. Inisiatif itu dilihat sebagai langkah untuk memastikan warisan bahasa dan budaya Orang Asal terus diberi tempat dalam sistem pendidikan negara.

Penganjuran MIPCE-3 menegaskan komitmen berterusan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti setempat dalam memperkasa pendidikan Orang Asal, dengan bahasa, budaya dan identiti sebagai asas utama pembangunan generasi muda.
