KOTA KINABALU: 21 Julai, 2026 – Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) akan membangunkan peta jalan (roadmap) 2026-2030 bagi memperkukuh industri hiliran gas dan minyak di Sabah sebagai usaha merancakkan pembangunan sektor itu dan meningkatkan nilai ekonomi negeri.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, berkata pembangunan peta jalan itu merupakan antara resolusi utama yang dipersetujui menerusi Persidangan Sabah Oil and Gas Services and Equipment (SOGSE) pada bulan lalu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Senallang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Menurut beliau, peta jalan itu akan menjadi panduan pembangunan industri gas dan minyak Sabah untuk tempoh lima tahun akan datang dengan memberi tumpuan kepada pengembangan industri hiliran di negeri ini.
“Saya akan membentangkan cadangan roadmap ini kepada Kabinet Negeri dan mudah-mudahan pada persidangan Dewan Undangan Negeri akan datang, selepas mendapat mandat dari Kabinet, saya akan kembali semula ke Dewan ini,” katanya.
Datuk Ewon berkata, kerajaan negeri mahu memastikan pembangunan industri gas dan minyak tidak hanya tertumpu kepada aktiviti huluan, sebaliknya memberi lebih banyak nilai tambah melalui pembangunan industri hiliran yang mampu mewujudkan peluang pelaburan, pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi mampan di Sabah.

