KUALA LUMPUR : 24 September 2025 – Liga Bola sepak Malaysia (MFL) menegaskan setiap penggantungan dan denda terhadap pasukan Liga-M dilaksanakan mengikut manual pertandingan dan perlembagaan liga yang digunapakai sejak penubuhan liga profesional itu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, berkata penggantungan dan denda terhadap pasukan yang melanggar syarat pelesenan berasaskan peraturan selain merujuk kepada kes-kes terdahulu membabitkan PJ City FC, Kelantan FC, Sarawak United dan Perlis.
Keputusan terbaharu yang melibatkan Perak FC, Kedah Darul Aman FC dan Sri Pahang FC juga menggunakan prinsip yang sama.
Menurut beliau, perkara ini telah dibentangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, dan keputusan dibuat berdasarkan manual liga serta kes sebelum ini.
Sri Pahang digantung setahun kerana memiliki Lesen Kebangsaan tetapi memilih tidak meneruskan penyertaan, manakala Kedah dan Perak gagal dalam pelesenan kelab lalu dikenakan penggantungan dua tahun.
MFL sebelum ini mengumumkan Perak FC dan Kedah Darul Aman FC digantung dua musim bermula 2025–2026 hingga 2026–2027, manakala Sri Pahang digantung setahun bagi musim 2025/26.
Ketiga-tiga pasukan itu turut hilang hak ke atas wang agihan merit Liga Malaysia (Liga-M) 2024/25.
Mohd Shazli menyifatkan tindakan berkenaan bukan mudah kerana pasukan terbabit mempunyai penyokong besar.
Bagaimanapun, beliau menegaskan ia merupakan proses pembelajaran supaya syarat pelesenan dipatuhi semua pasukan.
Sumber: Sinar Harian