MANILA, FILIPINA: 2 Oktober 2025 – Malaysia menegaskan keperluan memperkukuh kerjasama serantau dalam sektor pertanian, perhutanan dan sekuriti makanan pada Mesyuarat ke-47 Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) yang berlangsung di Manila pada 1 Oktober.
Delegasi negara diketuai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, bersama pegawai kanan kementerian.
Mesyuarat kali ini menekankan kepentingan memperkukuh kolaborasi antara negara anggota ASEAN (AMS) bagi menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang pembangunan kapasiti dalam sektor berkenaan.
Antara keputusan utama ialah penerimaan ASEAN Food, Agriculture and Forestry-Sectoral Plan (FAF-SP 2026–2030) sebagai dokumen rujukan serantau untuk tempoh lima tahun akan datang.
Negara anggota turut bersetuju dengan dua keutamaan ekonomi ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia 2025, iaitu ASEAN Leaders’ Declaration on the Vision for Food, Agriculture, and Forestry Towards 2045 serta ASEAN Framework for Cooperation in Food, Agriculture, and Forestry Sector Towards 2045.
Kedua-dua dokumen tersebut akan dibawa untuk pengesahan Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober 2025.
Selain menghadiri sesi utama, Mohamad Sabu turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari Filipina dan Jepun bagi membincangkan peluang kerjasama yang boleh diperluas demi manfaat bersama.
Turut hadir dalam mesyuarat ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM, Dato’ Sri Norazman Ayob serta pegawai kanan kementerian.
Sumber: Kenyataan Media
