Menderma darah amalan murni, mampu selamatkan nyawa

DART KDCA Kadamaian4b

KOTA BELUD: Kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menderma darah perlu terus dipupuk sebagai satu amalan murni yang mampu menyelamatkan nyawa.

Presiden Tobilung Sabah (TOBISA), Muji Ampau, berkata semangat kemasyarakatan dan amalan kebajikan seperti menderma darah harus sentiasa diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat setempat.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat Kadazandusun Cultural Association (KDCA) turut memuji para penderma darah yang tampil secara sukarela bagi menjayakan program berkenaan.

“Usaha seperti ini amat baik kerana bukan sahaja membantu pihak hospital menambah bekalan darah, malah memupuk nilai keprihatinan dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Derma Darah anjuran bersama Majlis Belia KDCA (KYC) Kota Belud, Biro Kesihatan KDCA Kota Belud, Persatuan Tobilung Sabah (TOBISA) dan United Sabah Tobilung Organisation (USTO), sini, pada Sabtu.

Muji turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

“Terima kasih tidak terhingga kepada para petugas kesihatan daripada Hospital Kota Belud yang telah bekerja keras walaupun di luar waktu kerja mereka, lebih-lebih lagi ketika musim puasa. Semoga segala khidmat bakti yang diberikan terus diberkati,” katanya.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Penyelaras KDCA Daerah Kota Belud yang juga AJK KDCA Pusat, Melon Yaming, serta Presiden USTO, James Bagah.

Sementara itu, James berkata beliau berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada penganjur program yang membawa manfaat besar kepada masyarakat.

Menurutnya, kerjasama antara pertubuhan yang terlibat akan terus diperkukuh selain menganjurkan lebih banyak program kemasyarakatan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, pihak penganjur memaklumkan bahawa program seumpama ini akan diteruskan di Kadamaian Square dalam masa terdekat, dan orang ramai diseru untuk tampil menderma darah sebagai tanda keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan.

Pada masa sama, KDCA Kota Belud yang diwakili oleh Melon Yaming, turut memberi sokongan kepada penganjuran program tersebut dengan menyumbangkan hadiah bagi Kejohanan Santai Dart yang diadakan bersempena program derma darah itu.

Program berkenaan dipengerusikan bersama oleh Pengerusi Majlis Belia KDCA Kota Belud, Herman Milah, dan Pengerusi Biro Kesihatan KDCA Kota Belud, Dr. Joshua Beting.

Melalui penganjuran program tersebut, pihak penganjur berjaya mengumpulkan 11 pain darah untuk membantu menambah bekalan tabung darah di Hospital Kota Belud.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal