GUANGZHOU: 13 November 2026 – “Matlamat kita adalah membangunkan industri yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pelabur, tetapi turut meningkatkan pendapatan petani, nelayan, pengusaha makanan dan komuniti tempatan.”
Itulah harapan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar yang mahu pemeteraian lima Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia-China Chamber of Commerce (MCCC) Sabah dengan persatuan perniagaan dari China diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat Sabah.

MCCC Sabah memeterai lima MoU hubungan persahabatan dengan persatuan perniagaan dari China hari ini, sekali gus membawa usaha memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan Sabah-China ke satu lagi fasa penting.
Pemeteraian itu menjadi antara pencapaian utama program Malaysia-China Economic & Trade Exchange and Business Matching Session di Guangzhou. Ia meletakkan asas kepada jaringan kerjasama lebih luas dalam bidang perdagangan, pelaburan dan perkongsian kepakaran antara komuniti perniagaan kedua-dua pihak.
Lima organisasi yang terlibat ialah Guangzhou Overseas Chinese Entrepreneurs Association, Guangzhou Overseas Expansion Enterprises Chamber of Commerce, Jilin Province Northeast Asia Trade Chamber of Commerce, Jilin Province Ginseng Chamber of Commerce dan Xingtai Business Federation.

Jamawi berkata, hubungan yang terjalin menerusi inisiatif itu perlu diterjemahkan kepada peluang pelaburan dan projek komersial. Langkah itu mampu menjana nilai ekonomi lebih tinggi untuk Sabah.
Beliau berkata, Sabah mahu bergerak melangkaui eksport komoditi mentah dengan memberi penekanan kepada pemprosesan hiliran, penerapan teknologi moden dan penghasilan produk bernilai tambah.
Presiden MCCC Sabah, Datuk Dexter Lau Wei Dick berkata, pemeteraian lima MoU berkenaan bukan sekadar memenuhi keperluan hubungan rasmi, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada kerjasama jangka panjang dan perkongsian sumber antara organisasi perniagaan.
“Kerjasama ekonomi yang bermakna tidak seharusnya terhenti pada satu lawatan atau sesi padanan perniagaan. Hubungan sebenar dibina melalui kepercayaan dan persefahaman jangka panjang,” katanya.
Beliau berharap hubungan itu dapat membuka lebih banyak peluang kepada syarikat Sabah untuk meneroka pasaran China, di samping menarik minat pelabur negara itu meneroka potensi ekonomi negeri.
