LABUAN:17 Februari 2026 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 540 karton minuman keras tanpa cukai bernilai hampir RM200,000 dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Labuan.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Izwanhadi bin Hj Idros berkata, rampasan itu dilakukan hasil rondaan Bot PETIR 90 menerusi Op SEJAHTERA 1/2022 dan Op TIRIS 3.0 kira-kira jam 8.15 malam, pada kedudukan 0.4 batu nautika tenggara Pulau Papan.
Menurut beliau, anggota operasi mengesan tiga bot dalam keadaan mencurigakan sebelum kesemua bot berkenaan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Dua daripada bot terbabit dilaporkan berpatah balik ke kawasan Methanol Labuan, manakala sebuah lagi tersadai di Pulau Balangkasan selepas ditinggalkan suspek yang dipercayai melompat dan melarikan diri ke darat.
Pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan menemukan 540 karton minuman keras pelbagai jenama tanpa dokumen sah.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat selepas rondaan dijalankan di sekitar pulau berkenaan.
Bot bersama muatan rampasan kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Labuan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah peruntukan undang-undang berkaitan penyeludupan dan peraturan kastam.
Sumber: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
