PUTRAJAYA: 8 Februari 2026 — Malaysia menyokong keputusan kerajaan India untuk membuka sebuah konsulat baharu di Kota Kinabalu, Sabah, sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konsulat berkenaan akan memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di Malaysia Timur, termasuk dari segi urusan konsular dan kerjasama ekonomi.
“Sebagai tanda hubungan baik antara Malaysia dan India, saya menyokong keputusan kerajaan India untuk membuka sebuah konsulat di Kota Kinabalu, Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi, sempena lawatan rasmi dua hari pemimpin negara itu ke Malaysia.
Sementara itu, kerajaan India memaklumkan pembukaan konsulat baharu tersebut dijangka membantu meningkatkan hubungan penerbangan antara kedua-dua negara, termasuk ke Sabah.
Setiausaha (Timur) Kementerian Luar India, P. Kumaran, berkata peningkatan hubungan rakyat dengan rakyat dan jumlah pelancong mendorong kedua-dua negara bersetuju memperluas rangkaian penerbangan.
“Terdapat persetujuan untuk meningkatkan hubungan penerbangan dengan lebih banyak penerbangan dan destinasi antara India dan Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, pembukaan konsulat di Kota Kinabalu berpotensi membuka lebih banyak laluan penerbangan terus ke Sabah.
