Malaysia Desak Thailand–Kemboja Reda Serta-Merta

KUALA LUMPUR: 8 Disember 2025 – Malaysia menegaskan bahawa keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau perlu dipelihara segera susulan perkembangan tegang yang berlaku di sempadan Thailand–Kemboja.

Dalam satu kenyataan oleh YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan ,Kementerian Luar Negeri berkata, Malaysia memandang serius situasi semasa di kawasan berkenaan dan menggesa semua pihak mengambil langkah segera untuk meredakan keadaan serta mengelakkan sebarang insiden yang boleh menjejaskan usaha perdamaian yang telah dicapai sebelum ini.

Malaysia turut mengingatkan komitmen kedua-dua negara yang termaktub dalam Perjanjian Gencatan Senjata 28 Julai, Mesyuarat GBC pada 7 Ogos, serta KL Accord yang dimeterai pada 26 Oktober 2025.

Sehubungan itu, Malaysia menyeru agar pihak terlibat kembali merujuk dan mematuhi Para 7 Perjanjian Gencatan Senjata yang menekankan keperluan rundingan segera di peringkat tempatan bagi mengelakkan konflik dari terus merebak.

Malaysia percaya dialog berterusan, langkah diplomatik yang berhemah serta penghormatan terhadap mekanisme dua hala sedia ada mampu memastikan keamanan dan kestabilan serantau terus terpelihara demi kepentingan bersama.

Sumber: Wisma Putra (Kenyataan Akhbar)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal