Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu
KUALA LUMPUR, 7 Mei: Malaysia memberi amaran pada hari Rabu bahawa ketegangan antara India dan Pakistan boleh mengganggu import beras ke negara Asia Tenggara yang sangat bergantung kepada bekalan luar, sekali gus mendorong negara itu mencari sumber bekalan alternatif.
Ketegangan antara dua negara bersenjata nuklear itu semakin memuncak selepas India melancarkan serangan ke atas Pakistan berikutan serangan maut ke atas pelancong bulan lalu di wilayah Kashmir yang ditadbir India.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata hampir 40 peratus beras import negara datang dari India dan Pakistan.
“Stabiliti politik dan ekonomi mereka adalah penting untuk keterjaminan makanan di Malaysia,” kata Mohamad kepada akhbar tempatan New Straits Times.
“Jika berlaku peperangan atau ketegangan yang menjejaskan operasi pelabuhan atau infrastruktur penghantaran, import beras ke negara kita boleh terganggu,” katanya.
India membekalkan beras putih, manakala beras basmati datang dari Pakistan — kedua-duanya merupakan makanan ruji bagi majoriti daripada 34 juta penduduk Malaysia.
“Jika keadaan di rantau itu semakin meruncing, ia pasti akan memberi kesan langsung kepada kita, terutamanya dari segi harga dan kesinambungan bekalan,” kata Mohamad kepada akhbar berkenaan.
Ketika ini, bekalan beras di Malaysia masih stabil, namun kerajaan yang berpusat di Putrajaya sedang memperkukuh hubungan dengan pembekal beras lain di rantau ini termasuk Vietnam, Thailand dan Kemboja.
India dan Pakistan bertukar-tukar tembakan artileri berat di sepanjang sempadan yang dipertikaikan di Kashmir pada hari Rabu selepas New Delhi melancarkan serangan peluru berpandu ke atas musuh ketatnya itu, dengan kematian dilaporkan di kedua-dua pihak.
New Delhi menuduh Pakistan menyokong serangan paling dahsyat dalam beberapa tahun ke atas orang awam di Kashmir yang ditadbir India pada 22 April, yang meragut nyawa 26 lelaki.
Islamabad menolak tuduhan tersebut.