KOTA KINABALU, 26 Mei 2025 – Cocoa Gala Dinner menandakan kemuncak kepada Malaysian International Cocoa Dinner (MCID) 2025, yang diadakan di Dewan Sipadan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), merupakan acara berprestij yang menghimpunkan penggiat industri koko dari seluruh dunia untuk meraikan pencapaian dan membincangkan hala tuju masa depan industri yang semakin berkembang pesat.

Ucapan perasmian bagi pihak Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor, disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, menekankan kepentingan penganjuran MICD 2025 di Sabah, yang diadakan kali pertama di negeri tersebut. Kerajaan Negeri turut menyatakan kebanggaannya menyokong penuh penganjuran acara yang berprofil tinggi ini.

Hajiji menekankan peranan kritikal Sabah dalam industri koko Malaysia, yang telah mencatatkan lonjakan eksport yang luar biasa, mencapai RM15.06 bilion pada tahun lepas, peningkatan tiga kali ganda berbanding tahun 2023.
“Kami berbangga menyumbang lebih daripada 60% daripada pengeluaran koko negara, dengan sekitar 3,000 petani koko dari Ranau, Tenom, Kota Marudu, Keningau, dan Kuamut telah mendapat manfaat daripada perkembangan industri ini,” katanya.
Beliau menyeru lebih ramai petani untuk melibatkan diri dalam penanaman koko bagi memperluaskan lagi kawasan tanaman sedia ada seluas 3,000 hektar. Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Datuk Dr Ramlee dan Lembaga Koko Malaysia (LKM) atas usaha gigih mereka dalam memacu kejayaan industri ini.
Majlis itu bukan sahaja menjadi platform perbincangan perniagaan, tetapi juga menjalin persahabatan, berkongsi pengalaman, dan meraikan kepelbagaian budaya yang kaya yang ditawarkan oleh Sabah.
Para hadirin turut dijemput untuk merasai semangat Pesta Kaamatan, Pesta Menuai tahunan Sabah, yang diraikan sepanjang bulan Mei.
Acara itu juga mengiktiraf sumbangan penting para peserta pameran antarabangsa, pengeluar koko, usahawan tempatan dan PKS, institusi akademik, penaja, dan rakan kongsi dari dalam dan luar negara yang telah menjayakan MICD 2025.
Majlis makan malam gala itu merupakan simbol penyatuan antara kerajaan, industri, dan masyarakat dalam memacu industri koko ke arah masa depan yang lebih gemilang.
Melalui acara seperti MICD 2025, Sabah bukan sahaja mempamerkan dirinya sebagai pengeluar koko utama di Malaysia, tetapi juga sebagai destinasi perniagaan, pelancongan, dan budaya yang menarik.