Majlis MPS perkukuh tadbir urus, jalin kerjasama strategik demi kemajuan Sandakan

IMG 2573 scaled

SANDAKAN: 21 April 2026 – Majlis Angkat Sumpah Ahli-ahli Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang berlangsung di Grand Ballroom Sabah Hotel hari ini menjadi simbol komitmen baharu dalam memperkukuh tadbir urus tempatan dan memacu pembangunan bandar secara lebih strategik dan inklusif.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif,  menegaskan bahawa pelantikan ahli majlis bukan sekadar satu penghormatan, tetapi merupakan amanah besar yang menuntut integriti, kebertanggungjawaban dan kesungguhan dalam berkhidmat kepada rakyat.

IMG 2574

Menurut beliau, sumpah jawatan yang dilafazkan bukan hanya bersifat simbolik, sebaliknya mencerminkan kesediaan individu untuk memikul tanggungjawab secara jujur, mematuhi undang-undang dan mempertahankan kepentingan masyarakat secara menyeluruh.

“Ahli Majlis perlu berperanan aktif sebagai jambatan antara rakyat dan pihak berkuasa tempatan, bukan sekadar menghadiri mesyuarat, tetapi turun padang, memahami isu setempat dan menjadi sebahagian daripada penyelesaian,” katanya.

Dalam majlis sama, MPS turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama empat rakan strategik iaitu Persatuan Masyarakat Tionghwa Bersekutu Sandakan, Dewan Perniagaan Tiong Hua Sandakan, Merdeka Daily News dan TV Sabah.

Kerjasama tersebut dilihat sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh jaringan antara pihak berkuasa tempatan, komuniti, sektor perniagaan dan media, selaras dengan keperluan pembangunan bandar yang semakin kompleks.

Arifin menegaskan bahawa MoU yang dimeterai tidak seharusnya sekadar menjadi dokumen rasmi, tetapi perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan program, inisiatif bersama dan impak yang boleh diukur.

“Kerjasama ini penting untuk memastikan penyampaian maklumat yang tepat, meningkatkan penglibatan masyarakat dan memperkukuh imej dan penjenamaan bandar Sandakan di peringkat lebih luas,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa Sandakan mempunyai potensi besar dari segi sejarah, ekonomi dan kedudukan strategik, justeru memerlukan pendekatan pembangunan yang lebih bersepadu dan berorientasikan hasil.

Sehubungan itu, beliau berharap MPS akan terus tampil sebagai institusi yang cekap, telus dan responsif, selain memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal