KUALA LUMPUR: 3 April 2026 – Sekumpulan mahasiswa mewakili Universiti Teknologi MARA cawangan Sabah di pentas nasional tampil dengan projek Pertanian Moden berasaskan Internet of Things (IoT) yang mengetengahkan penggunaan teknologi pintar bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti sektor pertanian.
Mahasiswa UiTM Sabah mengharumkan nama institusi dan negeri apabila mendapat naib johan dalam pertandingan keusahawanan peringkat kebangsaan yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor, pada 1 hingga 2 April lalu.
Pengarah Urusan Kaingaran Agrofarm yang juga Ikon Usahawan Belia, Mixxccomoko Philip, yang mengetuai kumpulan itu berkata idea projek berkenaan lahir dari keperluan mendesak untuk memodenkan sektor pertanian, khususnya di Sabah.
“Kami melihat masih banyak ruang untuk meningkatkan kecekapan dalam pertanian, terutama di kawasan pedalaman. Dengan teknologi IoT, petani boleh memantau tanaman secara lebih sistematik dan tepat,” katanya.
Menurutnya, pendekatan berasaskan teknologi bukan sahaja mampu meningkatkan hasil tanaman, malah menyumbang kepada amalan pertanian yang lebih mampan.
“Kami percaya pertanian bukan lagi sektor tradisional semata-mata. Ia boleh menjadi bidang yang moden, berdaya saing dan menarik minat golongan muda,” ujarnya.
Pertandingan anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu menyaksikan penyertaan dari 26 universiti seluruh negara, menjadikan platform tersebut medan persaingan idea inovatif dalam kalangan usahawan muda.
Kumpulan tersebut yang terdiri pelajar Nur Airin Ryanna Abdullah, Muhammad Zafri Anaqi Zaimee dan Dr. Rozlianah Fitri Said selaku mentor dari Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM Cawangan Sabah turut mendapat sokongan padu Unit MASMED UiTM dan rakan industri, Kaingaran Agrofarm.
Mengulas lanjut, beliau berkata projek berkenaan berpotensi memberi impak besar kepada komuniti luar bandar, termasuk membuka peluang pekerjaan dan menjadi pemangkin kepada perubahan minda masyarakat terhadap sektor pertanian.
“Kami mahu projek ini menjadi contoh bahawa anak muda luar bandar juga mampu membawa perubahan melalui inovasi. Harapan kami, lebih ramai belia akan melihat pertanian sebagai satu peluang masa depan,” katanya.
Kejayaan tersebut turut mencatat sejarah apabila kumpulan berkenaan menjadi wakil pertama dari UiTM Cawangan Sabah yang mewakili UiTM Malaysia dalam program Business Combat – Usahawan Muda peringkat kebangsaan.
Justeru, kemenangan yang diraih dijangka membuka ruang lebih luas kepada pengkomersialan projek dan meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap teknologi yang dibangunkan.
