KOTA KINABALU: 2 Oktober 2025 – Jenama kecantikan tempatan, ELVY Kosmetik yang dimiliki usahawan muda Elvy Sam, atau lebih dikenali sebagai LV Sams, semakin mencuri tumpuan peminat kosmetik sejak pelancaran produk pertamanya baru-baru ini.
Bermula daripada inspirasi yang tercetus di platform TikTok hasil sokongan dan cadangan netizen, LV Sams mengambil langkah berani melancarkan gincu pertama di bawah label ELVY Lip Collection. Perancangan perniagaan ini dimulakan pada Julai lalu, diikuti proses produksi selama sebulan sebelum pelancaran rasmi dilakukan pada awal Ogos.
Menurut LV Sams, perjalanan menghasilkan koleksi sulung ini bukan mudah kerana beliau mengambil masa hampir setengah tahun untuk mencuba pelbagai formula bagi mendapatkan tekstur terbaik yang sesuai dengan bibir sensitif. Dalam tempoh sebulan, beliau turut menyiapkan reka bentuk pembungkusan, penjenamaan serta strategi pemasaran bagi memastikan produk tampil berkualiti dan berdaya saing.
Selepas sambutan positif diterima, ELVY Kosmetik kini merancang memperkenalkan shade baharu untuk koleksi ELVY selain mengembangkan perniagaannya ke beberapa lokasi lain termasuk Brunei, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia.
Dengan permulaan yang menjanjikan, ELVY Kosmetik dilihat berpotensi menjadi antara jenama kecantikan tempatan yang mampu menembusi pasaran lebih luas, seiring dengan trend industri kosmetik yang kian berkembang pesat.