BANGKOK: 24 September 2025 – Sebahagian jalan raya utama di ibu negara Thailand runtuh, mencetuskan lubang benam gergasi berhampiran Hospital Vajira dan Balai Polis Samsen, sekali gus memaksa pemindahan penduduk sekitar.
Lubang berukuran kira-kira 50meter itu menyebabkan beberapa tiang elektrik tumbang dan paip utama pecah, selain menjejaskan aliran trafik di kawasan sibuk berkenaan.
Puluhan anggota polis dan pegawai bandar raya dikerahkan bagi mengawal kawasan kejadian, manakala operasi pemindahan dilakukan melibatkan penghuni blok pangsapuri berhampiran serta balai polis berdekatan.
Menurut Pengarah Jabatan Pencegahan Bencana Bangkok, Suriyachai Rawiwan, runtuhan dipercayai akibat hujan lebat serta kebocoran paip air yang menghakis tanah di bawah jalan sebelum mengalir masuk ke tapak projek stesen rel bawah tanah yang masih dalam pembinaan.
Projek pembinaan berkenaan adalah sebahagian dari rangkaian baharu Mass Rapid Transit Authority (MRTA) yang kini sedang dibina di kawasan tersebut.
MRTA dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap insiden berkenaan.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, yang meninjau lokasi berkata kejadian berlaku apabila tanah di kawasan stesen terbabit ‘disedut masuk’ ke tapak pembinaan.
Hospital Vajira dalam kenyataan pula memaklumkan perkhidmatan pesakit luar ditangguhkan sementara waktu sehingga keadaan kembali selamat.
Sementara itu, penduduk sekitar melaporkan gegaran kuat ketika jalan runtuh, disusuli bunyi seperti tiang elektrik tumbang, menyebabkan suasana panik.
Pihak berkuasa masih menilai tahap kerosakan selain menutup kawasan berisiko untuk mengelakkan insiden susulan.
Sumber: Berita Harian
