Tuaran, 8 Julai 2025 – Sebuah lori muatan batu terlibat dalam kemalangan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli apabila kenderaan berat itu hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu dan sebuah kenderaan lain yang diletakkan di bahu jalan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, lori jenis Nissan yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Ranau dilaporkan melanggar tiang lampu di pembahagi jalan sebelum merempuh sebuah Perodua Alza yang berada di seberang jalan bertentangan.
Laporan polis memaklumkan bahawa pemandu lori tersebut dipercayai cuba mengelak sebuah kenderaan jenis Myvi yang berhenti secara mengejut di hadapan, menyebabkan lori tersebut hilang kawalan.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden itu dan kedua-dua kenderaan tersebut tidak membawa penumpang ketika kejadian berlaku.
Siasatan awal mendapati pemandu lori gagal mengawal kenderaan semasa memandu, dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menyebabkan kemalangan.
Ujian saringan air kencing terhadap pemandu telah dijalankan dan hasilnya adalah negatif. Beberapa saksi turut diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Polis Daerah Tuaran mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu dengan berhati-hati dan mematuhi undang-undang demi keselamatan bersama.
Sumber – Kenyataan Media IPD Tuaran