KOTA KINABALU: 13 Ogos 2025 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan lima wanita warga asing dalam operasi penguatkuasaan di dua lokasi berasingan sekitar Kota Kinabalu dan Penampang, semalam.
Operasi dikenali sebagai Ops Gegar itu melibatkan 25 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Sabah. Pemeriksaan dilakukan terhadap 16 individu, sebelum lima daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mereka yang ditahan terdiri daripada empat wanita warganegara Thailand dan seorang wanita warganegara Laos, dipercayai melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM Sabah menegaskan, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin. Masyarakat juga digesa menyalurkan maklumat berhubung keberadaan warga asing tanpa dokumen sah di kawasan masing-masing bagi membantu usaha penguatkuasaan.
Sumber: Jabatan Imigresen Negeri Sabah