PENAMPANG: 20 Julai 2025 – Sebuah motosikal disita manakala lima saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang di beberapa lokasi tumpuan sekitar daerah ini, semalam.
Operasi yang diketuai oleh Ketua BSPT Penampang, Inspektor Rozami Hj Ahmad itu dilaksanakan di Jalan Pintas Penampang, Pekan Donggongon dan Jalan Papar-Kota Kinabalu, Putatan sebagai sebahagian usaha mengekang kegiatan samseng jalanan serta mengekalkan keselamatan lalu lintas.
Dalam operasi tersebut, sebuah motosikal disita di bawah Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 setelah didapati mengalami pengubahsuaian keterlaluan yang mengabaikan ciri keselamatan asas. Penunggangnya, seorang lelaki tempatan, turut dikenakan tindakan undang-undang.
Hasil pemeriksaan terhadap enam buah motosikal, pihak polis turut mengeluarkan sebanyak lima saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Pihak polis menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan yang bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah pengguna jalan raya lain.
Sumber: Polis Daerah Penampang