SANDAKAN: 3 November 2025 – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Sandakan telah melaksanakan Ops Tapis Narkotik sekitar kawasan pelabuhan Bandar Leila, Sandakan pada Isnin bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di kawasan berkenaan.
Dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 11.00 pagi, pihak polis telah menahan dua lelaki di sebuah bot tunda di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) turut menahan tiga lelaki dan seorang wanita atas kesalahan jenayah lain untuk tujuan ujian saringan awal air kencing di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Hasil ujian awal mendapati semua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan kesemua mereka kini ditahan di Lokap IPD Sandakan untuk siasatan dan tindakan lanjut oleh pihak BSJND.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman menegaskan bahawa pelaksanaan operasi ini selaras dengan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah dadah yang menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah itu.
Polis akan terus memperhebatkan usaha membanteras penagihan dan pengedaran dadah melalui operasi berterusan bagi memastikan Sandakan bebas daripada ancaman dadah.
Sumber: Polis Daerah Sandakan

