PENAMPANG: 9 Februari 2026 – Serbuan dilakukan di sebuah rumah di daerah Putatan kelmarin, membawa kepada penahanan lima suspek bersama rampasan pelbagai barangan yang disyaki hasil kegiatan jenayah, termasuk barangan milik mangsa, kelmarin.
Kesemua suspek berusia antara 26 hingga 31 tahun itu ditahan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang susulan kejadian pecah rumah melibatkan sebuah kediaman yang sedang menjalani kerja pengubahsuaian, dengan anggaran kerugian sekitar RM10,000.
Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah dan dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati dua daripada mereka positif dadah.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebat, jika sabit kesalahan. Semua suspek ditahan di lokap IPD Penampang bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Polis Daerah Penampang menegaskan komitmen berterusan untuk membanteras jenayah harta benda dan menyeru orang ramai agar sentiasa memastikan keselamatan premis, khususnya rumah yang tidak berpenghuni.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah disaran menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan dan usaha pencegahan jenayah di daerah ini.
