KOTA BELUD: 10 Mei 2025 – Lembaga Padi dan Beras Sabah dilancarkan secara rasminya hari ini untuk meningkatkan tahap sara diri pengeluaran padi dan beras tempatan kepada 30 peratus pada tahun depan dan 60 peratus pada 2030.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam ucapannya yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan melalui Lembaga Padi dan Beras Sabah yang telah dihidupkan semula untuk memastikan keterjaminan makanan Sabah, demi memenuhi keperluan tempatan dan mengurangkan kebergantungan beras import.
“Pada masa ini Sabah hanya mampu mengeluarkan kira-kira 22.8% tahap sara diri (SSL) beras tempatan, menyebabkan kebergantungan yang tinggi terhadap bekalan beras sumber import bagi memenuhi permintaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, selain daripada membangun dan mengurus padi negeri, Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) juga bertanggungjawab sebagai “regulator” pembangunan dan pengurusan padi di negeri Sabah.
“Oleh itu saya mahu agar semua agensi kerajaan negeri Sabah yang terlibat di dalam pembangunan dan pengurusan padi bekerjasama sepenuhnya dengan LPBS. Kerjasama ini adalah sangat penting agar pembangunan dan pengurusan padi berjalan dengan lancar dan teratur,” katanya.
Jelasnya, kerajaan negeri telah menetapkan tumpuan utama pembangunan dan pengurusan padi oleh LPBS di enam buah daerah iaitu Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Tambunan, Keningau dan Papar yang keluasannya berjumlah 22,218.35 hektar atau 55,879 ekar, dengan bilangan pesawah seramai 16,018 orang.
Selain itu, Hajiji juga menekankan keperluan pembangunan padi tanah kering iaitu padi bukit.
“Saya menggesa kepada pemilik-pemilik tanah bukit bergeran untuk membangunkan tanah mereka dengan tanaman padi bukit yang berkualiti. Dianggarkan seluas 13,266 hektar atau 32,767 ekar tanah bukit sesuai untuk tanaman padi huma, dan ini melibatkan seramai 15,617 orang petani,” katanya.
Menurutnya lagi, ia berpotensi mengeluarkan 30,424 metrik tan beras bukit setiap tahun, yang sangat berpotensi untuk diperdagangkan secara tempatan dan antarabangsa.
Antara jenis beras yang terkenal ialah beras Bario dari Sarawak, beras Adan dari Long Pasia, Sipitang, termasuklah padi bukit di Ranau, Kudat dan Pitas.
Turut digesa ialah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai tanah terbiar dan sesuai untuk tanaman padi, dibuka untuk penanaman padi, demi meningkatkan pengeluaran padi dan beras tempatan.
Ketua Menteri berkata, hari ini bukan hanya pelancaran LPBS tetapi juga pelancaran Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) bagi melindungi padi semua pesawah di Malaysia.
“Skim Takaful Tanaman Padi adalah suatu insurans yang menyediakan bantuan kewangan kepada pesawah berdaftar di bawah Skim Baja Kerajaan Persekutuan yang mengalami kerosakan atau kehilangan kekal kepada tanaman padi akibat bencana alam, perosak dan penyakit yang dilindungi di bawah skim ini,” jelasnya.
Beliau difahamkan bahawa pesawah warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dan menjalankan aktiviti pertanian padi di kawasan yang ditetapkan, serta berdaftar di bawah Skim Baja Kerajaan Persekutuan dan mempunyai akaun di Agrobank adalah layak di bawah skim itu.
Jesteru, beliau menyeru para pesawah mengambil manfaat dari skim yang disediakan kerajaan bagi melindungi tanaman padi mereka daripada kerosakan kekal akibat bencana di luar kawalan manusia.

Terlebih dahulu Hajiji berkata, kehadiran ribuan pesawah dari enam daerah ke majlis itu mencerminkan sokongan padu kepada usaha Kerajaan untuk membangunkan penanaman padi termasuk padi bukit dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi Sabah.