KENINGAU : 24 September 2025 – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemui mati selepas jasadnya dijumpai ditanam berhampiran rumah pekerja kebun getah di Kampung Kitung pada petang selasa.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, mangsa dikenali sebagai Abdul Hafiz, 30, warga Pakistan, ditemui selepas kerja mengorek timbunan tanah dilakukan berikutan penemuan beberapa barangan berhampiran lokasi tersebut.
Siasatan awal mendapati, pada 20 September lalu mangsa memaklumkan kepada rakannya yang juga pengadu bahawa dia mahu berjumpa dengan seorang individu di Kampung Meninipir sebelum bergerak dengan sebuah motosikal.
Bagaimana pun mangsa gagal dihubungi selepas itu.
Pada keesokan harinya, rakan mangsa menerima mesej bergambar dari telefon bimbit mangsa yang menunjukkan lokasi terakhir di kawasan Jalan Mangkalias, Tenom.
Pencarian dijalankan di lokasi itu pada 22 September dan polis menemui sebuah telefon bimbit milik mangsa.
Pencarian diteruskan keesokan harinya di Kampung Kitung dengan bantuan rakan mangsa yang membawa kepada penemuan pakaian, motosikal dan sebilah parang yang disorok dalam guni putih.
Kesemua barangan tersebut dijumpai berhampiran timbunan tanah baharu yang akhirnya membawa kepada pengesanan mayat mangsa.
Kerja menggali dijalankan kira-kira 100 meter dari rumah pekerja kebun getah sebelum penemuan mayat yang lengkap berpakaian dan berkasut dengan kesan luka di belakang kepala dan telinga kanan.
Mayat kemudiannya dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Keningau sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat yang dijadualkan pada Rabu.
Menurut Yampil, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis turut mengenal pasti seorang lelaki warga Filipina berusia 32 tahun, yang bekerja sebagai penjaga kebun getah dan menetap di rumah pekerja berhampiran lokasi penemuan.
Motif kejadian masih dalam siasatan.
Sumber: Sinar Harian
