TAWAU: 20 September 2025 – Polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun selepas disyaki mengugut isterinya menggunakan sebilah parang dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Jalan Apas, Rabu lalu.
Dalam kejadian sekitar jam 1.30 pagi itu, suspek dilapor bertindak agresif dengan mendakwa terdapat individu mengintai dari luar rumah mereka. Situasi bertukar cemas apabila lelaki berkenaan menjerit sebelum mengacukan parang ke arah isterinya sambil mengeluarkan ugutan mahu membunuh.
Bertindak atas laporan yang diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan suspek kira-kira jam 8 malam keesokan harinya di perkarangan IPD. Turut dirampas ialah sebilah parang, seutas kunci kenderaan dan sebuah Toyota Hilux.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. Semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.
Polis menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan ugutan atau tindakan ganas, selain menasihatkan orang ramai supaya mengawal emosi dan mendapatkan bantuan sewajarnya jika berdepan tekanan agar tragedi seumpama ini dapat dielakkan.
Sumber: Kenyataan Media
