KOTA KINABALU: 17 September 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun kerana disyaki terlibat dalam penularan video di Facebook yang mengandungi unsur fitnah serta mendedahkan identiti seorang kanak-kanak, berkait dengan kes Zara Qairina.
Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan dimulakan selepas menerima laporan daripada orang awam pada 13 September lalu mengenai penyebaran video berunsur fitnah yang turut mendedahkan identiti kanak-kanak berkenaan.
Jauteh berkata, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Suspek ditahan pada 16 September kira-kira jam 5.40 petang di Kota Kinabalu, dan polis turut merampas dua telefon bimbit miliknya bagi membantu siasatan.
PDRM menegaskan pihaknya memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial, khususnya penyebaran kenyataan berunsur fitnah atau provokatif yang boleh mengganggu keharmonian serta ketenteraman awam.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya berfikir terlebih dahulu sebelum berkongsi atau memuat naik sebarang kandungan di media sosial, bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan mengundang kesan undang-undang.
Jauteh turut menegaskan, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyalahgunakan platform digital untuk menyebarkan fitnah atau mendedahkan maklumat tidak wajar, khususnya melibatkan identiti kanak-kanak.
Sumber: Kenyataan Media
