TAWAU: 31 Ogos 2025 – Tindakan pantas penduduk Felda Umas berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di kawasan tersebut.
Kejadian terbongkar apabila seorang mangsa menyedari dua telefon bimbit miliknya dan ahli keluarga hilang dipercayai dicuri. Penduduk yang menyedari kehadiran seorang lelaki mencurigakan segera menahannya sebelum menyerahkan suspek kepada pihak polis.
Menurut Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau, hasil pemeriksaan awal mendapati suspek berusia 34 tahun itu menyimpan sebuah telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian. Suspek bersama barang rampasan kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. Polis Tawau merakamkan penghargaan atas kerjasama masyarakat Felda Umas yang membantu mengekang jenayah serta menjaga keselamatan kawasan mereka.
Sumber: Polis Daerah Tawau

