KOTA KINABALU: 7 September 2025 – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun selepas disyaki mengeluarkan ugutan jenayah terhadap seorang pakar patologi dari Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu. Ugutan tersebut dipercayai dibuat melalui laman Facebook menggunakan akaun atas nama “Amung Kamaruddin”.
Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun, berkata laporan polis mengenai ugutan itu diterima pada 5 September lalu. Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Suspek ditahan pada 7 September kira-kira jam 7 pagi di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna. Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Redmi yang hasil semakan awal mengesahkan ia milik pemilik akaun Facebook berkenaan.
Polis menegaskan pihaknya memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang boleh menggugat ketenteraman awam dan mengganggu keharmonian masyarakat. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang dengan mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan.
Sumber: Kenyataan Media,