PENAMPANG: 4 Februari 2026– Seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun ditemui meninggal dunia di hadapan sebuah rumah di Kampung Nosoob Baru, Penampang, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.15 pagi sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan garaj rumah berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.
Pemeriksaan awal di lokasi tidak menemukan sebarang kesan pergelutan, pecah masuk atau unsur jenayah, tiada kecederaan luaran mencurigakan pada tubuh mangsa.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kes berkenaan setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan rasmi laporan bedah siasat.
Sumber: Polis Daerah Penampang
