KOTA KINABALU, 20 Julai — Seramai 18,752 penerima di Kota Kinabalu menerima pelbagai bantuan kebajikan menerusi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) setakat Jun tahun ini di bawah lapan skim bantuan yang disediakan kerajaan negeri.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal, berkata demikian ketika menjawab soalan Puan Grace Lee Li Mei (ADUN Dilantik) di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.
Menurut Rina, Bantuan Warga Emas merekodkan jumlah penerima tertinggi iaitu 7,196 orang, diikuti Skim Bantuan Am (6,489), Bantuan Penjagaan OKU Terlantar, Pesakit Kronik Terlantar dan Pesakit Kronik Tidak Terlantar (1,538), Bantuan Kanak-Kanak (1,402) serta beberapa skim lain termasuk untuk anak yatim, OKU dan anak pelihara.
“Kerajaan Negeri masih mengekalkan kadar bantuan kebajikan negeri antara RM200 hingga RM350. Kesediaan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan bajet adalah bergantung kepada kedudukan kewangan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata, untuk bantuan kebajikan Persekutuan, sebarang kenaikan kadar bergantung kepada peruntukan yang diumumkan menerusi Belanjawan Persekutuan.
Kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan turut menyelaras syarat kelayakan berdasarkan Panduan Garis Kemiskinan (PGK) semasa, iaitu dari pendapatan Ketua Isi Rumah RM1,198 (2025) kepada RM1,236 (2026) dan pendapatan per kapita dari RM322 kepada RM348.
Pelarasan itu dijangka memastikan bantuan kebajikan terus disalurkan kepada golongan benar-benar memerlukan selaras dengan perubahan kos sara hidup dan garis kemiskinan semasa.

