KOTA KINABALU: 30 September 2025 – Spekulasi mengenai pembentukan pakatan baharu dikenali sebagai Langkah Kinabalu 2.0 kembali mencuri perhatian selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memberi isyarat kesediaan partinya untuk bekerjasama dengan Parti Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), J. Ligunjang JP, berkata perkembangan itu menguatkan khabar angin bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Warisan sedang menimbang kerjasama strategik menghadapi PRN.
Spekulasi turut dikaitkan dengan pertemuan antara Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bersama kepimpinan tertinggi Warisan, yang dipercayai mendapat restu daripada pucuk pimpinan UMNO di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan rundingan antara Ahmad Zahid dan Shafie semakin serius.
Malah, artikel oleh Jocelyn Tan dalam The Star sebelum ini mendedahkan dakwaan bahawa Warisan sanggup melepaskan jawatan Ketua Menteri sebagai sebahagian daripada kompromi politik.
Warisan sebelum ini menyatakan hasrat bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun langkah itu dijangka berubah dengan memberi laluan kepada UMNO di beberapa kawasan tradisi mereka.
Menurut Ligunjang, faktor kewangan juga mungkin menjadi pertimbangan utama memandangkan kos menurunkan calon di semua kerusi memerlukan dana besar.
Selain itu, isu perbicaraan menghina mahkamah yang dihadapi Shafie berhubung keterangannya dalam inkues Zara turut berpotensi menjejaskan kelayakan beliau untuk bertanding atau dilantik semula sebagai Ketua Menteri.
Jika didapati bersalah, Shafie berdepan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali.
Dengan landskap politik Sabah yang sentiasa dinamik, persoalan kini tertumpu sama ada Langkah Kinabalu 2.0 akan menjadi kenyataan atau kekal sekadar spekulasi politik.
