KV Keningau pertahan kejuaraan bola jaring SUKOV Zon Sabah dan Labuan

photo 2026 06 19 09 08 54

KENINGAU: 19 Jun 2026 – Pasukan bola jaring Kolej Vokasional (KV) Keningau terus membuktikan keunggulan mereka setelah berjaya mempertahankan kejuaraan Sukan Kolej Vokasional (SUKOV) Zon Sabah dan Labuan 2026 selepas menewaskan KV Tawau 30-18 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan SMK Keningau 2, 15 Jun lalu.

Kejayaan itu melengkapkan pencapaian cemerlang skuad berkenaan selepas turut meraih pingat emas pada Kejohanan Sukan Institusi TVET Sabah di Papar pada Mei lalu, sekali gus meletakkan sasaran untuk membawa cabaran Sabah pada SUKOV peringkat kebangsaan di Kelantan dari 10 hingga 15 Ogos depan.

photo 2026 06 19 09 08 40

Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, memuji kegigihan dan konsistensi pasukan yang aktif menyertai pelbagai kejohanan terbuka demi meningkatkan kekuatan dan kemahiran pemain.

Menurutnya, pihak kolej sentiasa memberikan sokongan penuh kepada atlet dalam semua bidang sukan bagi melahirkan pelajar yang mengamalkan gaya hidup sihat dan memiliki disiplin yang tinggi.

“Penyertaan berterusan dalam pelbagai kejohanan memberi peluang kepada pemain untuk meningkatkan prestasi dan membina keyakinan demi menghadapi saingan yang lebih mencabar,” katanya.

photo 2026 06 19 09 08 49

Pada Kejohanan Sukan Institusi TVET Sabah, KV Keningau yang membuat penampilan sulung berjaya mencatat kemenangan besar 33-3 ke atas ADTEC JTM Kampus Sandakan untuk muncul juara.

Pasukan yang dibimbing oleh Audrey A. Bernard Ining, Arniezahrine Osman, Dg. Ku Ezzah Nur Fatihah dan Saqilla Fah Ling Chin itu dibarisi 12 pemain utama yang sebahagiannya pernah mewakili daerah Keningau dalam Sabah Games (SAGA), dengan daerah berkenaan muncul juara acara bola jaring selama empat edisi berturut-turut termasuk pada tahun 2025.

Pemain KV Keningau, Clarinda Cherrie Eral, turut mencipta sejarah apabila terpilih mewakili Majlis Sukan Kolej Vokasional (MASKOV) dalam penyertaan sulung kolej vokasional pada Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2025 di Johor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal