SHAH ALAM: 2 Oktober 2025– Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menegaskan komitmen untuk memperkasa pembangunan usahawan Bumiputera melalui pelbagai strategi, sejajar dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
Fokus utama inisiatif itu adalah meningkatkan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera, dan memperkukuh sumbangan mereka kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan sasaran pertumbuhan sebanyak 15% menjelang 2035.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pelaksanaan program seperti Program Pembangunan Vendor (PPV) berperanan penting melahirkan syarikat Bumiputera yang inovatif, kompetitif dan berpotensi menembusi pasaran global.
Setakat ini, KUSKOP telah menjalin kerjasama strategik dengan 38 syarikat Anchor bagi membimbing vendor melalui latihan, khidmat teknikal dan pembangunan penyelidikan.
Dua inisiatif utama di bawah PPV ialah Geran Inovasi dan Pengkomersialan Vendor (GIPV) serta Program Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan Vendor (PPKV). Glide Technology Sdn. Bhd. merupakan antara syarikat yang mendapat manfaat dari PPKV, termasuk pembelian peralatan pengujian berteknologi tinggi untuk meningkatkan pengeluaran produk pelincir dan petroleum.

Syarikat itu sebelum ini turut meraih pengiktirafan 4 bintang di bawah SME Competitiveness Rating for Enhancement (SCORE) oleh SME Corp Malaysia.
Dalam satu lawatan kerja ke syarikat berkenaan, Ewon turut merasmikan makmal baharu hasil sokongan PPKV yang dilengkapi kemudahan moden bagi memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Pada majlis sama, beliau melancarkan produk minyak penebat berasaskan 100% minyak sawit, MPOB-GLIDE Palm Oil-Based Insulating Oil, hasil kerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Inovasi itu menjadikan Glide Technology Sdn. Bhd. sebagai syarikat Bumiputera pertama menghasilkan minyak penebat berasaskan sawit, sekali gus membuka peluang lebih luas dalam sektor tenaga tempatan dan serantau.
KUSKOP yakin usaha bersepadu ini mampu mengangkat kedudukan usahawan Bumiputera dalam ekosistem keusahawanan negara, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan serta menyumbang kepada aspirasi Malaysia Madani.