KUALA LUMPUR: 28 Februari 2026 – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus bagi simpanan konvensional dan syariah untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dengan jumlah pembayaran dividen sebanyak RM79.6 bilion kepada pencarum.
Kadar dividen bagi 2025 itu sedikit rendah berbanding 6.3 peratus yang diumumkan pada 2024. Namun, KWSP mencatatkan peningkatan jumlah pendapatan boleh agih kepada RM82.7 bilion, naik 9.5 peratus dari RM75.5 bilion pada tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata aset pelaburan KWSP meningkat kepada RM1.41 trilion berbanding RM1.25 trilion pada 2024, didorong oleh prestasi portfolio pelaburan dan jumlah caruman bersih RM66.5 bilion.
Menurut beliau, ekuiti kekal sebagai penyumbang utama pendapatan pelaburan pada 2025 dengan menjana RM50.7 bilion atau 64 peratus dari jumlah pendapatan pelaburan, meningkat dari RM49.9 bilion pada 2024. Pulangan pelaburan (ROI) keseluruhan bagaimanapun sederhana kepada 7.9 peratus berikutan ketidaktentuan pasaran global dan keadaan pasaran domestik yang lebih perlahan.
“Pelaburan ekuiti persendirian yang merangkumi kira-kira lapan peratus dari pelaburan ekuiti mencatatkan ROI sebanyak 10.5 peratus,” katanya.
Bagi instrumen pendapatan tetap yang sebahagian besarnya terdiri dari Sekuriti Kerajaan Malaysia, ia menyumbang RM26.3 bilion atau 33 peratus dari jumlah pendapatan pelaburan dengan ROI sebanyak 4.3 peratus.
Ahmad Zulqarnain berkata sektor hartanah dan infrastruktur pula menjana pendapatan RM1.6 bilion dengan ROI 4.8 peratus, manakala instrumen pasaran wang menyumbang RM0.6 bilion dengan ROI 1.6 peratus.
Beliau menjelaskan prestasi pelaburan turut dipengaruhi pergerakan kadar pertukaran asing berikutan sebahagian pelaburan KWSP didenominasikan dalam mata wang asing, terutama apabila ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat.
Secara keseluruhan, jumlah pendapatan pelaburan direkodkan sebanyak RM79.2 bilion, termasuk keuntungan dan kerugian belum direalisasikan berasaskan penilaian mark-to-market ke atas sekuriti.
Pendapatan pelaburan bagi simpanan konvensional dan syariah masing-masing berjumlah RM66.2 bilion dan RM13.0 bilion.
Dari segi komposisi aset, ekuiti merangkumi 46.1 peratus dari jumlah aset KWSP manakala instrumen pendapatan tetap 44.7 peratus. Hartanah dan infrastruktur mewakili 6.0 peratus, manakala instrumen pasaran wang sebanyak 3.2 peratus.
KWSP turut memaklumkan pelaburan domestik yang merangkumi 61.7 peratus dari aset berjumlah RM1.41 trilion menjana RM39.3 bilion atau 49.6 peratus dari jumlah pendapatan pelaburan. Pelaburan global yang merangkumi 38.3 peratus portfolio pula menjana RM39.9 bilion atau 50.4 peratus dari jumlah pendapatan pelaburan.
Sumber: Sabah Media
