Kontraktor Gagal Perlu Disenaraihitam dan Dilucut Lesen – Mohd Isam Tegas Perlu Tindakan Drastik Hentikan Projek Sakit

KUALA LUMPUR: 8 Oktober 2025 – Kerajaan disaran mengambil tindakan tegas termasuk menyenaraihitam dan melucutkan lesen terhadap kontraktor serta pemaju yang gagal melaksanakan projek kerajaan mengikut jadual atau ingkar terhadap tanggungjawab yang diamanahkan.

Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa, menegaskan bahawa kelemahan pelaksanaan projek akibat sikap cuai dan tidak berdisiplin dalam kalangan kontraktor bukan sahaja menjejaskan pembangunan negara, tetapi turut menggugat kepercayaan rakyat terhadap kecekapan pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata, kelewatan dan kegagalan menyiapkan projek awam perlu ditangani secara menyeluruh agar tidak menjejaskan perancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Isu itu juga dilihat berpunca dari kelemahan penyelarasan antara kementerian pelaksana, agensi teknikal dan Kementerian Ekonomi.

Menurutnya, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi tempoh pelaksanaan RMK-12 hingga 31 Disember 2024, sebanyak 157 projek dikenal pasti lewat jadual atau berstatus projek sakit, membabitkan 18 kementerian.

Antara kementerian dengan jumlah projek sakit tertinggi ialah Kementerian Pendidikan (KPM) dengan 46 projek, diikuti Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak 34 projek, PETRA (12 projek), dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) (11 projek).

Laporan itu turut mendedahkan empat projek mengalami kelewatan fizikal melebihi 20 peratus dan menerima antara dua hingga sepuluh Perakuan Kelambatan dan Lanjutan Masa (EOT) dengan lanjutan tempoh sehingga 785 hari, menimbulkan persoalan tentang kelemahan perancangan dan penyeliaan di lapangan.

Mohd Isam menegaskan, laporan audit berkenaan bukan sekadar dokumen kewangan, sebaliknya mencerminkan tahap kebertanggungjawaban kerajaan terhadap tadbir urus, dan pengurusan hasil negara.

Beliau menambah, prinsip akauntabiliti perlu diterjemahkan melalui tindakan konkrit, bukannya sekadar slogan, kerana ketirisan, kelewatan projek dan pengurusan yang lemah akan terus menghakis keyakinan rakyat sekiranya tidak dibendung segera.

Katanya, hanya dengan tindakan disiplin yang tegas terhadap pihak yang gagal melaksanakan amanah, termasuk langkah penyenaraian hitam dan pelucutan lesen, barulah kredibiliti kerajaan dalam memastikan keberkesanan projek pembangunan dapat dipulihkan sepenuhnya.

Sumber: UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal