Kontinjen Malaysia Bergaya di Pentas Pembukaan Sukan SEA 2025

BANGKOK: 10 Disember 2025— Kontinjen Malaysia mencuri perhatian pada Upacara Pembukaan Sukan SEA 2025 apabila mereka tampil segak bergaya dengan busana batik kontemporari dalam majlis penuh gemilang di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok.

Perarakan masuk kontinjen negara didahului dua atlet kebangsaan, Andre Anura Anuar (olahraga) dan Aaliyah Yoong Hanifah (ski air) selaku pembawa Jalur Gemilang.

Mereka diiringi Ketua Kontinjen, Nurul Huda Abdullah, bersama tiga timbalannya Dato’ Kenny Goh, Nazmizam Muhammad dan Jivan Mohan.

Batik kontemporari yang digayakan bukan sekadar pakaian rasmi, tetapi menjadi simbol visual yang menampilkan Malaysia sebagai sebuah negara kaya tradisi, progresif serta penuh keyakinan di pentas antarabangsa.

Pada edisi kali ini, Malaysia mempertaruhkan 1,138 atlet yang akan berentap dalam 50 jenis sukan merangkumi 459 acara, daripada disiplin Olimpik sehinggalah ke sukan tradisional rantau ini.

Dengan pembukaan yang penuh gaya dan bersemangat, kontinjen negara diharap dapat meneruskan momentum dan menghadiahkan keputusan terbaik buat Malaysia.

Turut sama menyertai perarakan ialah atlet daripada sukan olahraga, ski air, luncur ais dan hoki ais, memperlihatkan kepelbagaian kekuatan sukan negara.

Sumber: Majlis Sukan Negara Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal