Konsert Solo The Male-Efficient Bakal Menghiburkan Peminat di JKKNS

Share the news

Kota Kinabalu — Kumpulan koir lelaki tersohor dari Sabah, The Male-Efficient (TME), bakal kembali memeriahkan pentas dengan konsert solo istimewa yang dijadualkan berlangsung pada 21 Jun ini di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah (JKKNS).

Konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan biasa, sebaliknya menjadi platform penting buat TME menzahirkan hasil latihan intensif mereka sebagai persiapan menghadapi kejohanan koir antarabangsa yang bakal berlangsung di Denmark tidak lama lagi. Antara lain, sebahagian daripada hasil jualan tiket akan digunakan untuk menampung kos penyertaan mereka ke luar negara.

“Selain teruja, kami juga berasa sedikit gementar kerana konsert ini merupakan antara persediaan terakhir sebelum bertanding. Ia adalah detik penting untuk membuktikan hasil usaha kami selama ini,” ujar Jennedy, pelantun suara barritone kumpulan itu.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2015, TME yang kini berpengalaman hampir sedekad dalam arena koir telah mencatat pelbagai kejayaan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Antara pencapaian yang paling membanggakan termasuklah kemenangan pingat emas di World Choir Games 2023 di Korea Selatan serta gelaran Champion of the Festival di Hyperlive Performing Arts Championship pada tahun 2022.

Konsert kali ini bakal menyajikan sebanyak 11 buah lagu yang dibahagikan kepada empat segmen persembahan, merangkumi dua kategori utama yang bakal dipertandingkan iaitu Folklore Acapella dan Male Choir. Penonton berpeluang menikmati susunan muzik eksklusif hasil karya komposer tempatan dan antarabangsa seperti Juanita Tommy dan Ken Steven dari Indonesia, menjanjikan pengalaman muzik yang berkualiti tinggi. 

Menariknya, TME turut menyelitkan elemen seni dan budaya dalam persembahan mereka, selaras dengan matlamat untuk mengangkat martabat seni suara lelaki Sabah ke peringkat yang lebih tinggi.

Di sebalik komitmen peribadi serta latar belakang pekerjaan yang berbeza—sama ada sebagai pelajar, pekerja sepenuh masa mahupun ahli yang berasal dari negeri jiran—semangat untuk terus berlatih tidak pernah luntur. Mereka tetap berusaha menghadiri sesi latihan yang diadakan beberapa kali seminggu demi memastikan persembahan berada pada tahap terbaik.

“Latihan merupakan antara cabaran utama memandangkan kami berasal dari pelbagai daerah seperti Papar, Kota Marudu dan Tenghilan. Namun, cabaran yang paling besar adalah dari segi kewangan. Kadar tukaran mata wang Euro yang tinggi memaksa kami berusaha lebih keras untuk merealisasikan penyertaan ke peringkat antarabangsa,” jelas mereka.

Bagi para peminat seni suara, khususnya koir lelaki, konsert ini adalah peluang terbaik untuk menyaksikan kehebatan vokal bergabung dengan harmoni secara langsung. Dua sesi persembahan akan diadakan, iaitu pada pukul 3.00 petang dan 7.00 malam dengan harga tiket RM30.00 dan RM50.00. Konsert ini tidak akan dirakam atau disiarkan secara digital, menjadikan kehadiran fizikal satu-satunya cara untuk menikmati persembahan eksklusif ini.

“Kami berharap agar lebih ramai akan hadir dan memberikan sokongan. Ramai yang belum menyedari bahawa koir adalah salah satu cabang seni yang penuh potensi. Kami juga sentiasa membuka peluang untuk keahlian baharu, jadi kepada yang berminat, boleh mengikuti media sosial kami untuk maklumat lanjut.”

Orang ramai khasnya peminat TME adalah dijemput untuk datang menyaksikan persembahan mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal