KAJANG: 21 September 2025 – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melatih kira-kira 1,000 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi bencana termasuk musim tengkujuh.
Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang berkata latihan itu memberi kemahiran asas menyelamat kepada penduduk setempat agar tindakan awal dapat dilaksanakan sebelum pasukan beruniform tiba.
Beliau berkata kerjasama dengan APM akan terus diperkukuh kerana peranan sukarelawan luar bandar penting dalam mempercepatkan mobiliti bantuan semasa bencana.
Sejak ditubuhkan pada 2005, Akademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA) telah melatih lebih 58,000 individu manakala sehingga suku kedua tahun ini seramai 5.7 juta rakyat Malaysia menerima latihan pertahanan awam melalui pelbagai program APM.
Rubiah menegaskan APM perlu menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus rakyat Malaysia memiliki kemahiran pertahanan awam menjelang 2045, termasuk memastikan setiap rumah mempunyai seorang first responder.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed dan Komandan ALPHA, Kolonel APM Roydee Abdul Rahman.
Sumber: Astro Awani
