KINABATANGAN: 16 Ogos 2025 – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan bahawa daerah Kinabatangan memerlukan anjakan baharu dalam pembangunan bagi memastikan rakyatnya tidak ketinggalan menikmati kemajuan yang dibawa kerajaan.
Beliau berkata, perancangan di bawah Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) telah dirangka secara menyeluruh, meliputi aspek ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.
Antara fokus utama ialah memperkukuh sektor perindustrian, pelancongan dan pertanian, di samping membangunkan modal insan serta menambah hasil negeri melalui sumber minyak dan gas.
Hasil negeri itu, jelasnya, dipulangkan kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan tunai RM300 sebulan selama setahun kepada lebih 10,000 penerima daripada golongan miskin dan miskin tegar, penambahan program Rumah Mesra SMJ kepada 40 buah setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), serta pengagihan 100 mesin dialisis di hospital dan klinik kerajaan seluruh Sabah.
Menurut Hajiji, sehingga kini lebih 94 peratus daripada lebih 400 inisiatif SMJ telah dilaksanakan.
Beliau turut mengingatkan rakyat di DUN Lamag dan Sukau supaya membuat pilihan tepat pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 demi kesinambungan pembangunan.
Mengenai projek Bandar Baharu Seri Milian di Kota Kinabatangan, Hajiji menyifatkannya sebagai pemangkin perubahan besar yang bakal memberi impak positif dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Pada majlis itu, beliau menyerahkan 255 geran deraf PANTAS untuk DUN Lamag melibatkan keluasan 582.43 hektar, geran tanah Majlis Daerah Kinabatangan seluas 157.48 ekar, serta tiga geran deraf PANTAS bagi DUN Sukau berkeluasan 16.22 hektar.
Sumber: Sabah News Today