Kerajaan Peruntuk RM67.62 Juta Bantu 84,534 Pekebun Kecil Sabah Hadapi Musim Tengkujuh

photo 6258252428629624269 y

KOTA BELUD: 29 September 2025 – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM67.62 juta bagi melaksanakan Program Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) Sabah 2025 yang bakal memberi manfaat kepada 84,534 pekebun kecil dan penoreh getah di negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata daripada jumlah itu, 3,746 penerima adalah di bawah seliaan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), manakala 80,788 lagi melalui Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Beliau menjelaskan setiap penerima akan menerima RM800 seorang yang dibayar secara berperingkat bermula November 2025 bagi meringankan beban kehilangan pendapatan sepanjang musim tengkujuh.

Sejak diperkenalkan pada 2018, katanya, BMT menjadi wadah penting kerajaan mempergiat bantuan kepada masyarakat desa agar seluruh warga luar bandar menikmati limpahan hasil pembangunan negara yang inklusif dan adil.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM44.42 juta tahun ini khusus bagi pembangunan lebih 30,000 pekebun kecil di Sabah.

Beliau menegaskan peruntukan itu bukan sekadar angka, tetapi amanah untuk membina masa depan komuniti pekebun kecil, manakala kerjasama LIGS sebagai rakan strategik RISDA membolehkan pembangunan sosioekonomi dilaksana secara lebih strategik, berfokus dan mampan.

Mengulas mengenai Program Peningkatan Usahawan RISDA (PRISMA), Ahmad Zahid menegaskan inisiatif seperti peningkatan produktiviti getah, peluasan penjualan kayu getah terawat, pemerkasaan syarikat RISDA serta peluasan hab pemasaran produk melalui rangkaian RisSMart perlu dilaksanakan secara sistematik, strategik dan inklusif.

Beliau berharap PRISMA tidak dilihat hanya sebagai program tahunan semata-mata, sebaliknya menjadi platform pemerkasaan usahawan desa Sabah untuk memperluas pasaran, meningkatkan daya saing produk dan membina ekonomi tempatan yang mapan.

Pada majlis sama, RISDA melancarkan logo baharu yang melambangkan aspirasi transformasi selepas lebih lima dekad beroperasi, sekali gus menjadi simbol identiti moden yang berdaya saing serta mencerminkan iltizam memacu transformasi sektor komoditi.

RISDA turut menyalurkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan RISDA bernilai RM73,000 kepada 600 penerima yang terjejas akibat bencana banjir dan tanah runtuh baru-baru ini.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal