KERAJAAN GRS AKAN TERUS PERKUKUH KERJASAMA DENGAN BN SABAH, TIDAK PERLU WARISAN ATAU BUBAR DUN
KOTA KINABALU: Cadangan agar kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bekerjasama dengan Parti Warisan atau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah adalah dilihat sebagai tidak wajar ketika ini.
Menurut Penolong Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanahairku (SABAH STAR) Rizal Johari sebaliknya GRS akan terus memperkukuhkan jalinan kerjasama sedia ada dengan Barisan Nasional Sabah.
“GRS dan BN Sabah mempunyai perancangan bersama dalam usaha untuk membangunkan negeri Sabah yang berpandukan halatuju ‘Sabah Maju Jaya’ kerajaan negeri.
“Malah, kedua-dua pihak akan terus memperkukuhkan lagi kerjasama sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Rizal berkata demikian berikutan kenyataan Ketua Bahagian SABAH STAR Kepayan Jafery Jomion yang berpendapat agar parti pimpinan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan yang juga selaku Timbalan Ketua Menteri Sabah itu menjalinkan kerjasama dengan Parti Warisan atau membubarkan DUN Sabah jika tiada jalan penyatuan kerjasama daripada semua pihak atau parti politik.
Menurut Rizal, ini hanyalah pandangan peribadi Jafery.
Dia juga yakin bahawa GRS dan BN Sabah akan sentiasa mencari titik persamaan dalam usaha untuk mentadbir dan memajukan negeri ini. “Walaupun adakala kedua-dua pihak tidak sehaluan dalam hal-hal tertentu, kita akan sentiasa mencari dan kembali kepada titik persamaan diantara kita.
“Dan titik persamaan kita adalah perjuangan untuk Sabah dan rakyat negeri ini. Ini tidak seharusnya kita korbankan hanya disebabkan oleh keadaan politik yang berlaku sekarang. “Atas sebab ini, GRS tidak perlu untuk menjalinkan kerjasama politik dengan Parti Warisan buat masa ini atau membubarkan DUN untuk membuka laluan kepada pilihanraya negeri.
“Ketika ini, kerajaan sedia ada perlu tumpukan kepada tanggungjawap mengurus tadbir negeri ini dan teruskan dengan perancangan pembangunan yang telah dirancang,” kata Rizal. Katanya lagi, apa pun yang sedang berlaku dalam arena politik nasional, rakyat Sabah dan para pemimpin di negeri ini kekal menghargai kestabilan politik di Sabah.
– TV Sabah News
0 Comments