Kerajaan Bina Semula Rumah Musnah Akibat Banjir dan Tanah Runtuh di Sabah

photo 2025 09 18 23 08 09

PUTATAN: 18 September 2025 – Kerajaan Persekutuan memberi jaminan akan membina semula rumah yang musnah serta membaiki kediaman yang rosak akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda tujuh daerah di Sabah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, senarai rumah terjejas sedang dikenal pasti oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Menurut beliau, usaha itu dilaksanakan secara bersama dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa daerah bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera.

Selain pembinaan semula rumah, kerajaan turut memberi perhatian kepada kerja-kerja baik pulih pendawaian elektrik di kediaman mangsa banjir.

GiatMARA akan menyelaraskan pemasangan semula sistem elektrik bagi rumah yang masih boleh diduduki.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, meninjau situasi bencana di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) termasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan Petagas dan PPS Keramat di Putatan.

Setakat ini, bencana banjir dan tanah runtuh di Sabah mengorbankan 13 nyawa.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini meluluskan peruntukan segera berjumlah RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk membantu mangsa terjejas.

Jumlah itu adalah tambahan kepada RM11 juta yang telah disalurkan kerajaan negeri bagi tujuan pembaikan segera kemudahan asas di kawasan terlibat.

Sumber: Buletin TV3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal