Kepimpinan Sarawak Menjadi Model untuk Sabah, dan Kepentingan Naratif Sejarah Yang Tercicir

BAU, SARAWAK: 22 Julai 2025 – Perpaduan dan kematangan politik serta kepimpinan yang kuat di Sarawak memperkukuh kedudukannya untuk berinteraksi dengan Putrajaya, menjadi model kepada Sabah dalam menuntut hak-haknya.

“Saya kagum dengan bagaimana Sarawak telah menyatukan barisan politiknya dan perpaduan ini membolehkan Sarawak menuntut dirinya dengan lebih yakin dan jelas dalam rundingannya dengan Putrajaya. Itu adalah sesuatu yang kita di Sabah boleh dan mesti contohi.

“Malah mempunyai seorang Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak sekarang, hasil daripada perpaduan itu,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata demikian dalam ucapannya sempena Perarakan Kebudayaan Hari Kemerdekaan Sarawak 722 di Tasik Biru, hari ini.

Kitingan, yang juga merupakan presiden Dayak International Organisation (DIO), mengingatkan para hadirin tentang kepentingan sejarah 22 Julai 1963 – hari Sarawak diberikan pemerintahan sendiri oleh British – menjelang pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Terlebih dahulu beliau berkata terdapat naratif “sejarah yang tercicir” dalam  sejarah pembentukan Malaysia, khususnya berkaitan status Sabah dan Sarawak. Menurutnya naratif yang sering tercicir tersebut menekankan perubahan signifikan status kedua-dua negeri Borneo yang terdapat pada Perjanjian Malaysia (MA63) yang ditandatangani pada 9 Julai 1963, dan Proklamasi Malaysia pada 16 September 1963.

Menurutnya, Sabah dan Sarawak masih berstatus koloni British ketika Perjanjian Malaysia ditandatangani pada 9 Julai 1963, menyebabkan kedua-dua negeri tersebut disekutukan dengan Persekutuan Tanah Melayu sebagai koloni. Hal itu menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai negeri ke-12 dan ke-13, yang turut tercermin dalam nombor kad pengenalan penduduk. Pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1976, khususnya Artikel 1(2), mengukuhkan lagi kedudukan tersebut.

“Malaysia sepatutnya menjadi sebuah persekutuan baru yang terdiri daripada Sabah, Sarawak, dan Malaya (serta Singapura sebelum ia keluar pada tahun 1965), tetapi apa yang berlaku adalah matlamat itu sengaja ditukar dan beransur-ansur terhakis. Itulah sebabnya kita mesti berusaha untuk mengembalikan apa yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia,” katanya.

Pada 22 Julai 1963, pemimpin Sarawak, dengan restu Gabenor British, menggunakan hak penentuan kendiri di bawah Resolusi 1541 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk mencapai kemerdekaan. Tarikh itu kini diraikan sebagai Hari Sarawak, hasil dari usaha yang berterusan dalam mendapatkan pengiktirafan.

Sementara itu, Sabah turut mengorak langkah yang sama. Pada 8 Ogos 1963, Majlis Perundangan Borneo Utara mencapai resolusi sebulat suara untuk memerdekakan Sabah pada 31 Ogos 1963, tanpa mengira sama ada Malaysia menjadi kenyataan atau tidak.

“Kita tidak boleh lupa bahawa Sarawak dan Sabah kedua-duanya adalah tanah jajahan sebelum Perjanjian Malaysia ditandatangani. Perjalanan menuju kemerdekaan bukanlah mudah, tetapi yang jelas adalah kita sepatutnya menjadi rakan kongsi yang sama taraf dalam Persekutuan dan bukan hanya sebagai neger-negeri yang lain,” katanya.

Kitingan menjelaskan bahawa kelahiran Malaysia pada 16 September 1963, menandakan titik perubahan. Sabah dan Sarawak beralih status dari koloni kepada negara merdeka dan berdaulat dalam tempoh antara 9 Julai 1963 hingga 16 September 1963. Proklamasi Malaysia mengubah landskap politik; Sabah dan Sarawak tidak lagi disekutukan dengan negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (Artikel 1 MA63), tetapi disekutukan dengan Persekutuan Tanah Melayu itu sendiri.

Beliau berkata, perbezaan ketara antara kedua-dua dokumen ini adalah status Sabah dan Sarawak. Pada 16 September 1963, bahawa kedua-dua negeri ini disekutukan dengan Malaya (Persekutuan Tanah Melayu), bukannya dengan negeri-negeri Melayu secara individu.

Kitingan menegaskan bahawa pemahaman yang jelas mengenai sejarah tersebut adalah penting bagi memastikan Sabah dan Sarawak menuntut kedudukan mereka sebagai rakan kongsi setara dengan Malaya dalam Malaysia.

“Kita bukan negeri ke-12 atau ke-13. Kita adalah rakan kongsi sama taraf,” tegasnya

Beliau juga memuji para pemimpin Sarawak atas keberanian mereka dalam memperjuangkan pengiktirafan Hari Sarawak sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak dan cuti umum, dan terma-rerma menegaskan hak perlembagaan mereka secara aman dan teratur.

Kitingan, yang juga presiden Borneo Dayak Foundation (BDF) berkata, keupayaan Sarawak untuk menganjurkan acara kebudayaan seperti perarakan hari ini, yang lengkap dengan pakaian tradisional dan ekspresi kebanggaan negeri yang ketara, sebaik-baiknya menjadi platform untuk perpaduan — bukan sahaja untuk Sarawak, tetapi juga untuk semua warga Borneo.

“Saya berterima kasih kepada kepimpinan Sarawak dan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang dikenali dengan mesra sebagai Abang Jo oleh warga Sarawak. Mereka menunjukkan contoh bahawa apabila kita bersatu dan bercakap dengan satu suara, pemimpin persekutuan akan mendengar.

“Kita adalah satu bangsa Borneo, jadi marilah kita menggunakan Hari Sarawak sebagai platform untuk menyatukan bukan sahaja warga Sarawak, tetapi semua Dayak dan warga Borneo. Solidariti ini akan mengukuhkan kedudukan kita di Malaysia.

 “Saya berharap suatu hari nanti Sabah dan Sarawak akan sepenuhnya mendapatkan semula peranan yang sewajarnya sebagai rakan pengasas dalam Malaysia, seperti yang diimpikan dalam Perjanjian Malaysia. Marilah kita terus bekerjasama, bahu membahu, sebagai rakan yang sama taraf.

“Saya harap suatu hari nanti Sabah dan Sarawak akan betul-betul mendapat kembali hak-hak kemerdekaan mereka sebagai sebuah negara di United Nation,” katanya.

Hari Kemerdekaan Sarawak mula dirayakan sejak 2013 bersama Kitingan di Central Padang Kuching, ketika rakyat masih belum bebas untuk merayakannya. Pada tahun 2015, sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak dilaksanakan bersama Sarawak for Sarawakian (S4S) di Pantai Songkeng dengan kehadiran sekitar 15,000 orang.

Kerajaan kemudian menyedari bahawa bangsa Sarawak mengetahui kebenaran dan sejarah Sarawak, sehingga pada tahun 2016, Ketua Menteri Sarawak Ke 5, Pehin Sri  Tan Sri Adenan Satem mengisytiharkan bahawa 22 Julai adalah Hari Kemerdekaan Sarawak.

Tahun ini, 2025, 12 tahun kemudian, rakyat Sarawak merayakan Hari Kemerdekaan Sarawak atau Hari Sarawak dengan beberapa kumpulan yang berarak. Dianggarkan lebih 1,000 orang membanjiri Tasik Biru yang bersejarah di Bau pagi ini untuk mengambil bahagian dalam Perarakan Kebudayaan Hari Kemerdekaan Sarawak 722 tahun 2025, sambutan meriah ulang tahun ke-63 kemerdekaan Sarawak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal