KOTA KINABALU: 14 April 2026 – Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya segera melaksanakan pelan tindakan menyeluruh bagi menangani isu kekurangan doktor di Sabah yang sudah lama berlarutan.
Pengerusinya, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata situasi semasa amat membimbangkan apabila hanya 2,884 doktor berkhidmat di negeri ini berbanding keperluan sebenar sekitar 9,000 orang. Beliau merujuk kenyataan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, mengenai jurang besar jumlah doktor di negeri ini.
“Kekurangan tenaga doktor akan menyebabkan beban kerja meningkat, tempoh menunggu rawatan menjadi lebih lama dan akses kepada perkhidmatan kesihatan semakin terbatas,” katanya.
Menurut Yazid, kekangan ini bukan sahaja memberi tekanan kepada sistem kesihatan tetapi turut menjejaskan kualiti perkhidmatan, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Antara langkah yang dicadangkan termasuk menambah kuota penempatan doktor, memberikan insentif khas, menambah baik kemudahan kesihatan, serta mempermudah proses kenaikan pangkat pegawai perubatan bagi mengelak mereka bertukar ke sektor swasta.
Beliau menegaskan rakyat Sabah berhak mendapat akses kesihatan yang berkualiti dan setara dengan negeri lain selari dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
