“Kejayaan tidak datang secara kebetulan” – Christello buktikan usaha dan disiplin bawa kepada PNGK 4.0

3bcdc598 88b7 416a 92dc 499bd1d7578e

Oleh: Roodwill


KENINGAU: Bagi kebanyakan pelajar, PNGK 4.0 dalam STPM adalah impian. Namun bagi Christello Dominic dari Kampung Delayan Lama, Sook, ia bukan hasil kebetulan.

“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa kejayaan tidak datang secara kebetulan, sebaliknya memerlukan usaha, disiplin dan kesabaran. Saya percaya bahawa setiap usaha yang dilakukan dengan ikhlas pasti akan membuahkan hasil,” katanya.

Christello mengakui cabaran terbesar sepanjang Tingkatan Enam ialah mengurus masa.

“Detik yang paling mencabar bagi saya ialah ketika perlu menyiapkan pelbagai tugasan, menghadiri kelas serta membuat ulang kaji untuk peperiksaan dalam tempoh yang sama. Namun saya sentiasa mengingatkan diri bahawa setiap cabaran yang dihadapi merupakan sebahagian daripada proses untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Untuk mengatasi tekanan, beliau menyusun jadual belajar yang teratur. Selepas sesi persekolahan, beliau berehat seketika sebelum mengulang kaji. Waktu malam diperuntukkan untuk latihan, manakala hujung minggu digunakan sepenuhnya untuk memperkukuhkan topik yang masih lemah.

Di sebalik kegigihannya, Christello tidak pernah lupa peranan keluarganya. Ibu bapanya sentiasa memberi dorongan, nasihat dan memastikan suasana belajar yang selesa.

“Orang pertama yang terlintas di fikiran saya ialah ibu bapa saya kerana mereka merupakan individu yang banyak berkorban dan sentiasa memberikan sokongan sepanjang saya belajar,” katanya.

Beliau berkata, melihat kesungguhan ibu bapanya menjadi motivasi untuk terus berusaha dan membalas segala pengorbanan yang telah dilakukan selama ini.

Setiap pelajar ada subjek paling mencabar. Bagi Christello, ia adalah Pengajian Am yang memerlukan pemahaman mendalam dan pembacaan luas.

“Pada peringkat awal, saya menghadapi kesukaran untuk memahami beberapa topik tertentu. Oleh itu, saya mengambil inisiatif dengan mengulang kaji secara konsisten, berbincang dengan guru-guru, dan rakan-rakan selain banyak melakukan latihan berdasarkan soalan-soalan tahun lepas,” katanya.

Beliau turut menghargai peranan guru-guru yang sentiasa bersedia membantu, tidak pernah jemu memberi nasihat dan kata-kata semangat.

Bagi Christello, PNGK 4.0 bukan satu-satunya perkara yang diperoleh. Dua tahun di Tingkatan Enam mengajarnya disiplin, sabar dan yakin pada kemampuan diri.

“Saya juga menyedari bahawa kejayaan bukanlah sesuatu yang datang dengan mudah, tetapi memerlukan pengorbanan dan sokongan daripada orang di sekeliling,” katanya.

Walaupun sudah cemerlang, Christello menganggap pencapaian ini hanyalah permulaan. Beliau kini berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan terus meningkatkan ilmu dalam bidang yang diminati.

Beliau berharap kisahnya memberi semangat kepada pelajar lain yang sedang mengejar impian.

“Jangan mudah berputus asa. Kejayaan tidak semestinya bergantung kepada kepintaran semata-mata, tetapi lebih kepada usaha yang konsisten dan kesungguhan untuk terus belajar. Jangan lupa menghargai pengorbanan ibu bapa, menghormati guru-guru dan sentiasa berusaha memperbaiki diri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal