TENOM: 16 Jun 2026 – Program kebun sekolah di Sabah yang bertujuan memupuk kesedaran terhadap keterjaminan makanan dan menggalakkan minat keusahawanan dalam bidang pertanian dalam kalangan pelajar bakal diperluas secara besar-besaran bermula tahun hadapan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, cadangan pelaksanaan perluasan program itu telah dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Sabah untuk dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, beberapa sekolah yang menawarkan subjek pertanian di peringkat menengah atas telah memulakan inisiatif kebun sekolah sebagai projek awal.
“Terdapat juga sekolah yang tidak menawarkan subjek berkenaan, justeru penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) amat penting dalam membantu pelaksanaan program tersebut di peringkat sekolah,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Guru di SM St Anthony.
Jelasnya, kementerian melalui pegawai dan agensi berkaitan telah diarahkan untuk memberi khidmat sokongan dan nasihat kepada sekolah-sekolah yang berminat melaksanakan projek berkenaan untuk memastikan ia dapat dijalankan secara lebih sistematik dan berkesan.
Tambahnya, jika pelaksanaan program tersebut berjalan lancar dengan sokongan semua pihak, kementerian menyasarkan pengembangan secara menyeluruh di seluruh negeri Sabah pada tahun hadapan.
“Tahun ini, fokus utama diberikan kepada usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan sektor pertanian sebagai sumber makanan dan juga peluang ekonomi yang mampu menjana pendapatan,”katanya.
Jamawi turut menegaskan bahawa aspek keterjaminan makanan perlu diterapkan sejak di bangku sekolah agar generasi muda memahami peranan pertanian bukan sahaja sebagai keperluan asas, tetapi juga sebagai bidang keusahawanan yang berpotensi tinggi.
Dalam usaha memperkukuh pendekatan kementerian, beliau memaklumkan penekanan turut diberikan kepada kerja lapangan dengan nisbah 60 peratus di lapangan dan 40 peratus di pejabat untuk memastikan pegawai lebih memahami realiti dan cabaran yang dihadapi di peringkat akar umbi.
Dalam perkembangan lain, kementerian sedang bersiap sedia melancarkan platform digital kebundapur.com yang akan membolehkan hasil pertanian dipasarkan secara terus kepada pengguna tanpa penglibatan orang tengah.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi SM St Anthony Tenom, Samuel Stimin, Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Melalap, Denesly Justin dan pemimpin setempat.
