Monday, December 23, 2024

KDM sertai kerajaan PH, Kiandee satu-satunya MP pembangkang di Sabah

Dari kiri Datuk Verdon Bahanda,Datuk Westrom Bahanda, Datuk Petrer Anthony, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Riduan Rubin dan naib presiden KDM Martin Tommy.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan dua calon Bebas Sabah adalah yang terbaru yang menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Malaysia yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini menjadikan seramai 24 daripada 25 ahli parlimen dari Sabah yang kini bersatu dalam pentadbiran persekutuan baharu di Putrajaya.

Satu-satunya Ahli Parlimen yang tidak menyertai adalah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang memutuskan untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN).

Pada PRU15, Ronald bertanding atas tiket PN dan mengekalkan Parlimen Beluran dengan majoriti 1,594 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Parti Warisan dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Kiandee adalah bekas menteri yang merupakan naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kekal dengan pendirian Perikatan untuk tidak menyertai kerajaan perpaduan.

Semalam, Ahli Parlimen KDM dan dua ahli parlimen Bebas secara rasmi menyertai kerajaan perpaduan.

Presiden KDM Datuk Peter Anthony menyerahkan surat sokongan partinya itu kepada Anwar di pejabatnya di Putrajaya pada Jumaat (25 Nov).

KDM menerusi Datuk Wetrom Bahanda memenangi kerusi Kota Marudu manakala adiknya Datuk Verdon memenangi kerusi Kudat sebagai calon bebas manakala calon bebas Riduan Rubin memenangi kerusi Tenom.

Mereka bertiga bersama Anthony memberikan sokongan kepada kerajaan perpaduan selepas pada mulanya melontarkan sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataan, Anthony berkata Kerajaan Persekutuan mesti stabil demi kepentingan negara. KDM juga bersetuju dengan Raja untuk pembentukan kerajaan perpaduan.

“Kerajaan perpaduan mesti inklusif dengan perwakilan dari Sabah dan Sarawak,” kata Peter dalam entrinya di Facebook.

Beliau percaya pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 akan dapat menyelesaikan kemelut politik yang berlaku dan mengembalikan kestabilan politik demi kemakmuran dan pembangunan negara.

Peter juga memohon maaf atas kesalahan, kekasaran tutur bahasa sepanjang musim Pilihanraya ke 15 yang lalu.

Kini ahli parlimen Sabah yang menyatakan sokongan ialah seorang KDM, dua orang Bebas, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam Ahli Parlimen, Warisan (tiga Ahli Parlimen), Pakatan Harapan Sabah (lima Ahli Parlimen) dan Barisan Nasional Sabah (tujuh Ahli Parlimen).

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights